Wednesday 17 August 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 1

“Jakarta destinasiku mengobat lara”


“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan hujan petir. Kita bersedih dan tertanya-tanya kemana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah. Allah berikan kita kesusahan, rintangan sebab Dia nak berikan kesenangan sekiranya kita tabah dan terus berusaha.”

Memilih untuk ke Jakarta, Universitas Indonesia, bukannya keputusan mudah bagiku.

Aku anggap sebagai satu pelarian dari kesengsaraan hati kepada sesuatu yang lebih baik, dengan harapan. Pada masa yang sama, UKM juga menunggu kehadiranku. Tetapi hati yang dalam kesedihan dan kepedihan ingin pergi jauh meninggalkan Kuala Lumpur yang hampir memusnahkan seluruh hidupku. Harapan hanya satu, ada satu lagi kehidupan baru di sana, di Jakarta nanti.

Aku bertekad untuk meninggalkan semua yang aku sayang dan pernah aku sayang demi untuk mengubat hati lukaku. Hanya terima kasih tidak terhingga kepada seluruh keluargaku, adik angkat Izani Awang, NM dan SJ yang sangat menghidupkan semangatku ketika itu.

Terima kasih sekali lagi adikku Izani Awang kerana semua ini adalah hasil usahamu. Sayangnya sampai saat ini aku tidak dapat mencari keberadaanmu di mana. Tiada kata terima kasih dapatku ungkapkan di hadapanmu atas kejayaanku sekarang. Tanpamu mungkin aku tak akan dapat menikmati kehidupan seperti sekarang. Hanya pada Allah aku memohon menemukan semula aku denganmu.

Untuk SJ, terima kasih kerana sejak dari dulu sampai sekarang sentiasa mengambiltahu dan menolongku bila aku memerlukan. Allah mentakdirkan kau SJ selalu berada berhampiran denganku. Aku juga bersimpati dengan perkahwinanmu yang tiada zuriat, tetapi aku cukup bangga melihat keredhaanmu menerima semua ketetapan Allah SWT.

Sekarang, bila mengingatkan betapa naifnya aku pada tahun 1986, hanya kerana putus cinta aku boleh keciwa dan hampir gagal dalam hidupku, menyesal rasanya. Kemampuan untuk memilih seorang teman hidup dari beberapa pilihan yang ada, menyebabkan aku cukup menderita kerana memilihmu AHH sebagai teman istimewaku ketika itu.

Kesanggupanmu mengabaikan aku hanya kerana takut diugut jika masih meneruskan hubungan denganku menyebabkan aku sangat keciwa denganmu.

Sangat mudah kau melupakan kata-katamu dan pengakuanku ketika hendak memilihmu dan kenapa kau menjadi pilihanku, bukannya orang lain yang juga kau kenali. Aku merasa cukup terhina dengan tindakanmu, seolah-olah aku tidak bermaruah langsung.

Aku bertekad akan pergi. Sebulan sebelum berangkat ke Jakarta, kakak kesayanganku jatuh sakit. Sakit tenat. Hati aku sudah berbelah bahagi untuk pergi atau tidak. Dokter tidak dapat mengesahkan apa penyakit yang dihidapinya. Dukun pula memaklumkan kakakku mungkin tidak panjang umurnya. Hatiku lagi berat untuk pergi. Mak akan hilang tempat bergantung kekuatan jika aku pergi sedangkan kakak sakit.

Dua minggu sebelum aku berlepas ke Jakarta kakak sembuh dan menasihatkan aku supaya pergi, jangan risaukan dirinya. Mak pun akhirnya bersetuju, walaupun pada awalnya keberatan melepaskan aku pergi.

Awal Julai 1988, aku bersama-sama kawan-kawan seangkatan berlepas ke Jakarta. Aku dihantar keluargaku, tidak ketinggalan kakakku. Pandangan matanya sayu ketika melepaskan aku pergi. Sampai ke hari ini masih terbayang renungan matanya yang masih lemah tetapi tetap ayu. Aku tahu dia belum sihat betul tetapi menggagahi diri untuk menghantarku. Terima kasih kak Eizan. Hanya dia ahli keluarga yang sangat memahami aku dan segala rahasia aku disimpan rapi, begitu juga rahsianya. Kami sangat rapat sekali. Tetapi semua itu hanyalah tinggal kenangan.

Sampai di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta Jakarta, kami dibawa ke Budi Kemuliaan dengan menaiki bas. Bersama-sama kami di dalam bas juga ada beberapa orang senior yang menunjukkan rupa yang tidak ramah. Keadaan ini membuatkan hati jadi bertambah tidak senang. Aku masih dalam keadaan sugul dan tidak gembira mudah terasa tidak berpuashati dengan orang-orang di sekelilingku dan situasi tempat kami ditempatkan. Gambaran tidak sihat Jakarta juga masih ada di minda.

Hati jadi semakin rindu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Tidak sanggup rasanya meneruskan hidup begini.

Aku sendiri sebenarnya tidak tahu adanya penghantaran pelajar melalui G to G seperti ini. Belajar ke Indonesia tidak pernah diimpikan. Tetapi ternyata takdir, qada dan qadar Tuhan melebihi segala-galanya. Melalui proses orientasi pelajar senior Malaysia di sini juga tidak aku senangi.

Sangat tersinggung diperlakukan seperti budak-budak belasan tahun, maklumlah ketika itu umur sudah 20an. Banyak rasa tidak puas hati bermain di fikiran ketika itu. Tapi apa nak buat, sudah memilih untuk datang ke sini. Bersama tugas sebagai pelajar, aku juga membawa misi kerjaku kerana aku telah dilantik sebagai wakil oleh sebuah syarikat suratkhabar di Kuala Lumpur untuk menulis laporan dan berita kepada mereka. `Sambil menyelam minum air’.

Aku perlu berhati-hati kerana aku memilih untuk mendapatkan pinjaman-biasiswa JPA, lalu aku tidak boleh secara terbuka melakukan tugasanku. Alhamdulillah semua itu dapat dilalui dengan selamat.

Kepergian rakan-rakan ke daerah masing-masing setelah selesai taklimat di kedutaan, menyebabkan hati semakin sunyi dan sedih. Yang tinggal di Jakarta hanyalah kawan-kawan yang tidak rapat sewaktu di Kuala Lumpur. Hati makin susah dan resah. Bosan. Sunyi dan macam-macam lagi. Tidak sabar menunggu memulakan pengajian di unversiti.

Mungkin perasaan bosan akan hilang dek kesibukan kuliah dan tutorial. Senior memaklumkan kami akan berpindah ke kampus baru di Depok. Hati aku makin risau bila mendengar kawasan ini adalah kawasan kampung yang jauh dari pusat membeli belah dan hiburan.

Aku mula berfikir macamana aku nak hidup jika gambaran yang diberikan itu betul, sedangkan aku lebih suka suasana yang `lebih hidup’ dan meriah.

Kata senior, kampus Depok terletak di tengah-tengah sawah padi. Di sekelilingnya juga dipenuhi dengan pokok-pokok hutan tebal. Berdekatan dengan jalan keretapi. Rumah sewa juga susah didapati kerana kawasan itu baru dibangunkan. Kami semua hanya menduga-duga, dengan hati resah menunggu situasi sebenar.

Moga-moga realiti nanti tidaklah seburuk yang diceritaka senior. Mungkin mereka sengaja nak menakutkan aku dan rakan-rakan.

Biografi Nor Aizan Binti Ab. Halim
Lulusan Sarjana Ilmu Komunikasi UI, 1988-1993. Master Sos. Sc. UMK (Psikologi Kaunseling) 2006, kini bertugas sebagai Guru Pengajian Am Tingkatan 6, Pensyarah sambilan, Kaunselor persendirian.

Nor Aizan Ab Halim, Bandar Baru Bangi, 7 Ogos 2011